Air mata iringi kepulangan Azi ke pangkuan keluarga

Air mata iringi kepulangan Azi ke pangkuan keluarga

EJEN jualan kosmetik, Rosnazira Mohd Naim yang dibawa lari ke Thailand lebih dua minggu, kini berada dalam keadaan selamat di rumah keluarga suaminya di Jalan Kelochor, Kelantan, hari ini.

Wanita dikenali sebagai Azi, 36, dilihat berada dalam keadaan sihat tiba di rumah berkenaan kira-kira jam 2.50 petang dengan diiringi Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Berita Harian melaporkan, suasana pilu bercampur gembira menyelubungi pekarangan kediaman itu sejurus Azi keluar dari kereta.

Dia yang mengenakan blaus biru gelap, terus menerpa ibu bapanya yang menunggu di pekarangan rumah dalam keadaan menangis.

Bagaimanapun Azi yang mengenakan pelitup muka dilihat lebih banyak termenung dan sesekali menangis, sebelum ditenangkan ahli keluarga, menggambarkan kejadian lalu benar-benar mengganggu emosinya.

Muhammad Zaki ketika ditemui media berkata, Azi mungkin mengalami tekanan emosi dan pihaknya sudah menjalankan sesi kaunseling bagi mengurangkan trauma dialami mangsa.

“Kes penculikan ini mendapat liputan meluas dan kita dengan bantuan semua pihak berjaya menyelamatkan mangsa dan membawanya pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan baik.

“Soal keselamatan mangsa selepas ini, keluarga perlu adakan perbincangan mengenai apa langkah seterusnya kerana tidak semestinya bergantung kepada polis semata-mata,” katanya.

Mengulas siasatan kes itu, katanya ia sudah selesai, namun banyak yang perlu dipertimbang dalam siasatan pihaknya.

“Selagi ada perkara yang menyalahi undang-undang, polis akan siasat,” katanya.

Dalam kejadian 13 September lalu, Azi yang juga ibu kepada seorang anak diculik di hadapan rumahnya di Kampung Semat Jal di Wakaf Bharu, Tumpat oleh sekumpulan lelaki sebelum dibawa ke Thailand menerusi Sungai Golok.

Mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke negara ini pada 29 September lalu hasil kerjasama rapat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand.

Tujuh lelaki tempatan turut ditahan berhubung kes itu di tiga negeri iaitu Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Mengulas tujuh tangkapan sebelum ini, Muhamad Zaki berkata, tiga daripadanya sudah dibebaskan, manakala empat lagi masih ditahan. – Malaysiapost

Komen