Banjir: Zahida ingatkan PKR jangan ‘buat wayang’

Banjir: Zahida ingatkan PKR jangan ‘buat wayang’

KETUA Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan membidas kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah yang mendakwa Umno ‘sibuk’ mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga membelakangkan keselamatan rakyat.

Zahida turut menyifatkan tindakan wakil rakyat PKR yang ketika ini bersiapsiaga menjalani latihan berkayak sebagai persediaan menghadapi bencana, mempunyai maksud tersirat.

“Apa yang nak disampaikan? Pasukan keselamatan kita bomba, PDRM (Polis Diraja Malaysia), Jabatan Pertahanan Awam, dan lain lain tak berfungsi bila musim banjir?,” katanya ringkas di Facebook.

Dalam pada itu, Zahida mengingatkan PKR bahawa bencana banjir bukan masa untuk ‘buat wayang’ mahupun melakukan aksi ‘stunt’.

“PKR ni reti tak gerak kerja atau pun pengurusan isu bila musim banjir? Lagi satu nak tanya, bila berkayak, nak selamatkan mangsa ke diri sendiri?, katanya.

Semalam, wakil rakyat PKR mewakili Pulau Pinang, Perlis dan Kedah menjalani latihan berkayak sebagai sebahagian daripada program simulasi banjir di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR menegaskan, sejak awal kerajaan sama ada di peringkat Pusat atau negeri digesa menumpukan persediaan menghadapi bencana.

“Malangnya, Umno terus membelakangkan keselamatan rakyat dan memaksa agar pilihan raya diadakan segera. Kita sibuk hadapi bencana, mereka sibuk desak pilihan raya. Apapun, kita terus berkhidmat, InsyaAllah,” katanya. – Malaysiapost

Komen