Malaysia-Korea tingkat kerjasama penerbangan awam pasca pandemik

Malaysia-Korea tingkat kerjasama penerbangan awam pasca pandemik

MALAYSIA dan Korea bersetuju untuk mempertingkatkan kerjasama dalam bidang penerbangan awam terutamanya pasca pandemik.

Menteri Pengangkutan, Datuk Ser Dr Wee Ka Siong, berkata perkara itu dizahirkan dalam pertemuan dua hala beliau dengan Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea, Won He Ryong di Ibu Pejabat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Montreal, Kanada, semalam.

“Malaysia dan Korea mempunyai hubungan yang telah lama terjalin dan kami bersetuju untuk mempertingkatkan lagi hubungan dua hala.

“Malah, kedua-dua negara juga bersetuju untuk saling menyokong antara satu sama lain dalam pemilihan Anggota Ahli Majlis ICAO Bahagian III yang akan diadakan pada 4 Oktober ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Ka Siong berkata, Malaysia dan Korea pernah diturunkan ke kategori 2 bagi penarafan Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).

“Namum, kedua-dua negara mampu kembali ke kategori 1 dalam tempoh yang sangat singkat. Pengalaman yang dilalui oleh kedua-dua negara untuk ke kategori penarafan FAA IASA turut memperkuatkan urustadbir dan memperkasakan keselamatan penerbangan awam negara masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ka Siong berkata, ramai rakyat Malaysia dilaporkan ingin berkunjung ke Korea Selatan sejak pembukaan sempadan.

“Saya juga difahamkan bahawa rakyat Korea juga tidak sabar-sabar untuk berkunjung ke destinasi kegemaran mereka terutamanya Kota Kinabalu untuk permainan golf dan ‘scuba diving’ serta mendaki gunung di Sabah,” katanya.

Ka Siong kini sedang dalam lawatan rasmi ke ibu pejabat ICAO di Montreal, Kanada, tempat beliau bertemu dengan Menteri Pengangkutan dari negara lain untuk membincangkan kerjasama teknikal. – Malaysiapost

Komen