Menghendap kini kesalahan jenayah

Menghendap kini kesalahan jenayah

DEWAN Rakyat semalam, meluluskan pindaan ke atas Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah, yang menjadikan tindakan menghendap sebagai satu kesalahan.

Rang Undang Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2022 diluluskan sebulat suara selepas dibahas Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Terdahulu, kedua-dua RUU berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mas Ermieyati berkata, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 membabitkan peruntukan berhubung kesalahan menghendap atau stalking, manakala RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2022 membabitkan peruntukan perlindungan kepada mangsa berhubung perlakuan kesalahan berkenaan.

Melalui pindaan Kanun Keseksaan, Mas Ermieyati memberitahu, kesalahan menghendap bukan saja terhad kepada secara fizikal, tetapi turut membabitkan kelakuan menghendap secara maya melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram, dalam usaha menangani kesalahan itu secara menyeluruh.

“Pindaan ini dilihat sebagai suatu mekanisme yang mampu memberi impak tinggi apabila pihak berkuasa bukan saja dapat menghalang perlakuan mengganggu dan menghendap, malah dapat menyelamatkan nyawa.

“Ini secara tidak langsung berpotensi untuk memberi keyakinan kepada orang ramai terhadap langkah kerajaan dalam menangani isu perlakuan mengganggu dan menghendap ini,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Bagi pindaan ke atas Kanun Tatacara Jenayah, Mas Ermieyati berkata, ia akan memberikan perlindungan undang-undang kepada mangsa jenayah menghendap melalui perintah perlindungan yang dikeluarkan pihak mahkamah.

“Pindaan ini juga diwujudkan berdasarkan falsafah untuk membendung jenayah menghendap dan pada masa sama, akan dapat mengurangkan kebimbangan, ketakutan dan trauma kepada mangsa,” katanya.

Mas Ermieyati memaklumkan, ketika ini, undang-undang sedia ada hanya melindungi mangsa kepada perlakuan mengganggu dan menghendap yang terjadi kepada pasangan yang pernah mempunyai hubungan perkahwinan yang sah atau sudah bercerai.

Bagaimanapun, bagi perlakuan yang membabitkan pihak yang tidak pernah mempunyai perhubungan perkahwinan yang sah, tiada undang-undang khusus dan jelas yang diperuntukkan kepada mangsa.

“Tujuan utama peruntukan ini adalah bagi memberi perlindungan yang mencukupi kepada mangsa terhadap perlakuan menghendap,” katanya. – Malaysiapost

Komen