Mukhriz ingatkan Azmin agar tidak kurang ajar

Mukhriz ingatkan Azmin agar tidak kurang ajar

PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai penipu besar.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun, turut mengingatkan Menteri Kanan Perdagangan, Antarabangsa dan Industri itu agar tidak bersifat kurang ajar terhadap Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, kenyataan Azmin yang mengatakan Dr Mahathir lupa mengapa beliau meletak jawatan Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH) ketika ditanya sebelum ini adalah satu penipuan.

“Azmin jangan kurang ajar! Bila masa Dr Mahathir duduk sembang dua jam dgn awak? Azmin memang penipu besar!

“Dengan pemimpin penipu macam ni, rakyat wajib tolak Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini,” katanya dalam satu hantaran di Instagram malam tadi.

Terdahulu Azmin dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Bahagian-bahagian dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Bersatu Negeri Selangor, semalam mendakwa Dr Mahathir meletakkan jawatannya pada 2020 kerana sikap pelupanya.

Ahli Parlimen Gombak itu mendedahkan pergolakan PH ketika itu berlaku susulan tindakan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin mendesak Dr Mahathir menyerahkan jawatannya segera, sehingga berlakunya ‘Langkah Sheraton’.

“Tun Dr Mahathir pun pening…akhirnya dia letak jawatan. Dia panggil saya baru-baru ini dan tanya saya apa berlaku di ‘Sheraton Move’…Saya kata Tun tak ada ‘move’.

“Betul…saya duduk dua jam dengan dia..dia tanya tak ada ‘move’, saya kata tak ada. (Dr Mahathir) tanya buat apa kat situ…saya kata ‘makan’, ucapan tak ada…kempen pun tak ada, hanya makan.

“Jadi saya tanya Tun letak jawatan kenapa? (Dr Mahathir) “Itulah saya lupa”…kalau Tun lupa nak buat macam mana,” katanya.

Untuk rekod, Dr Mahathir bertindak meletakkan jawatan Perdana Menteri ketujuh Malaysia pada 24 Februari 2020 mengakibatkan kerajaan PH yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 tumbang.

Susulan itu PN berjaya membentuk kerajaan dan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan. – Malaysiapost

Komen