Najib dijanjikan hadiah AS$1.17 bilion daripada kerabat Diraja Arab Saudi

Najib dijanjikan hadiah AS$1.17 bilion daripada kerabat Diraja Arab Saudi

DUA pucuk surat dikatakan daripada seorang putera Arab Saudi didakwa menjanjikan derma AS$1.17 bilion kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Najib menunjukkan dokumen itu dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini semasa perbicaraan kes rasuah melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.28 billion, terhadap Najib.

Pasukan pembelaan mempertahankan tertuduh berdasarkan alasan sumbangan daripada putera Arab Saudi disalurkan ke akaun bank Najib pada 2013, memetik MalaysiaKini.

Semasa pemeriksaan balas terhadap saksi ke-38 pihak pendakwaan, ketua pasaran modal AmBank Yap Wai Keat, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed menunjukan dua pucuk surat, dikatakan daripada Saud Abdulaziz al-Saud.

Surat bertarikh 1 November 2010 itu menjanjikan sumbangan AS$100 juta manakala surat bertarikh 1 Mac 2013 pula menjanjikan AS$800 juta.

Minggu lepas, dalam perbicaraan di depan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, pasukan pembelaan turut menunjukkan surat daripada Saud bertarikh 1 Feb 2011 yang menjanjikan AS$100 kepada Najib.

Surat itu menyatakan derma itu diberikan sebagai ‘pengiktrirafan terhadap sumbangan (Najib) kepada dunia Islam’.

Bagaimanapun, setakat ini tiada saksi pendakwaan yang mengesahkan kesahihan surat-surat itu, termasuk Yap.

Tiga pucuk surat itu belum dibenarkan secara rasmi untuk diserahkan kepada mahkamah sebagai ekshibit kes. – Malaysiapost

Komen