PAS kaji keterbukaan Umno pulih MN sebelum muktamad keputusan

PAS kaji keterbukaan Umno pulih MN sebelum muktamad keputusan

PAS akan mengkaji secara mendalam berhubung keterbukaan Umno memulihkan agenda penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN) sebelum membuat keputusan muktamad, hujung minggu ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perkara itu memerlukan kajian dengan mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar serta mudarat (risiko) yang paling ringan.

“PAS menyambut baik kenyataan Presiden Umno semalam yang menzahirkan keterbukaan Umno dan PAS memulihkan agenda Penyatuan Ummah berikutan pertemuan empat mata antara Presiden Umno dan PAS pada 17 September lalu.

“PAS mengulangi komitmen untuk bersama dalam segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya di kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Ia berteraskan ayat 10 Surah al-Hujurat yang menekankan soal ‘perdamaian’ diantara orang-orang Islam yang bertelagah dalam sesuatu urusan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, PAS tetap mengharapkan suatu jalinan penyatuan ummah yang sejati dapat direalisasikan antara parti-parti utama Melayu Islam di negara ini.

Katanya, ia selari dengan mengambil roh dan semangat persaudaraan Islam seperti yang ditunjukkan dalam sirah iaitu antara ‘Aus – Khawraj’ dan ‘Muhajirin – Ansar’ yang akhirnya membawa kepada kekuatan dan kegemilangan pemerintahan Islam.

“PAS turut menekankan soal penyelesaian sesuatu perkara perlu dirujuk kepada sumber agama Islam iaitu al-Quran dan hadis.

“Sesungguhnya perkara di atas juga terkandung secara jelas dan tersurat di dalam Piagam MN yang telah dimeterai pada 14 September 2019,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan, menegaskan sebarang usaha pemulihan MN mestilah berpandukan prinsip dan semangat piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati sebelum ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian bagi menjawab pelbagai spekulasi yang timbul susulan pertemuan beliau dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Kenyataan terbaharu Ahmad Zahid itu sekali gus menyaksikan ‘bibit-bibit’ perdamaian antara Umno dan PAS yang memungkinkan usaha menghidupkan semula penyatuan ummah menerusi MN terlaksana pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – Malaysiapost

Komen