Pas wajib tinggalkan PN jika sayangkan Islam dan negara – Ridhuan Tee

Pas wajib tinggalkan PN jika sayangkan Islam dan negara – Ridhuan Tee

PAS wajib meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan kembali bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN), jika benar-benar sayangkan Islam dan negara, kata penganalisis politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau berpandangan hasrat Pas menyatukan ummah melalui Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) tidak berjaya dilakukan kerana Bersatu langsung tidak hormat pendirian Pas yang sayangkan penyatuan ummah merentasi parti.

“Ternyata, Bersatu begitu lantang mahu menjadikan Umno sebagai musuh utama. Saya tidak fikir kenyataan ini akan dikeluarkan jika Pas tidak bersama Bersatu.

“Percayalah, tanpa Pas, Bersatu tidak akan memenangi walaupun satu kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Dalam kata lain, Bersatu tanpa Pas, ibarat anak kehilangan ibu. Apakah Pas tidak sedar lagi?” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Justeru, menurutnya pertemuan presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini sepatutnya menjadi titik tolak untuk Pas meninggalkan PN dan kembali bersama Umno dalam MN.

“Benar, Pas terhutang budi kepada Bersatu, disebabkan ‘Langkah Sheraton’, Pas berada dalam Kabinet. Begitu juga dengan Umno. Jika tidak, sehingga ke hari ini Pakatan Harapan (PH) masih memerintah, Umno-Pas masih terus menjadi pembangkang. Semua yang berlaku, itu ada sebab dan hikmahnya,” katanya.

Mohd Ridhuan berkata, Pas tidak boleh terus terikat dengan Bersatu, kerana dalam politik, kadangkala, apabila berlaku pertembungan antara isu budi dengan masalah ummah yang lebih besar, maka ummah mesti diutamakan.

“Masa depan Islam dan negara jauh lebih besar daripada ikatan budi. Lagipun ikatan budi tersebut bukan berlaku sebelah pihak, tanpa sokongan dan sokongan Umno-Pas, mana mungkin terbentuk kerajaan yang ditadbir hari ini.

“Dalam kata lain, masing-masing terhutang budi. Tidak ada isu. Semua telah ditakdirkan. Kita tidak sepatutnya terus terikat dengan ikatan budi. Kadang-kadang politik bukan berlaku seperti yang dirancangkan. Nasib baik telah disedari,” katanya.

Beliau berkata, Umno dan Pas perlu kenal siapa musuh sebenar dan berpendapat jika Pas kembali bekerjasama dengan Umno, tidak mustahil Bersatu akan kembali kepada Umno, kerana tanpa Pas, Bersatu tidak akan ke mana-mana.

“Sebagai mualaf Cina dan pengkaji politik, saya merayu, Umno-Pas kembalilah, duduk semeja, berbincanglah mulai sekarang demi masa depan agama, bangsa dan negara. Pada saya sudah sampai pada tahap wajib. Berlapang dada.

“Segeralah hidupkan gelombang MN, jika kita benar-benar sayang Islam dan negara ini demi kemenangan PRU15. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna,” katanya. – Malaysiapost

Komen