Pemulihan MN mesti berpandu prinsip, semangat piagam asal – Zahid

Pemulihan MN mesti berpandu prinsip, semangat piagam asal – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sebarang usaha pemulihan Muafakat Nasional (MN) mestilah berpandukan prinsip dan semangat piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati sebelum ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian bagi menjawab pelbagai spekulasi yang timbul susulan pertemuan beliau dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Katanya, pertemuan empat mata pada 17 September lalu berlangsung dengan penuh harmoni berteraskan semangat mahabbah dan ukhuwah persaudaraan Islamiah.

“Banyak perkara diperbincangkan termasuklah mengenai agenda penyatuan ummah yang pernah digerakkan bersama satu ketika.

“Semangat kerjasama politik atau taawun siyasi antara Umno-PAS pada waktu itu berpaksikan keinsafan betapa perlunya dua Parti Induk Bumiputera Melayu-Islam terlebih dahulu diperkasakan bagi memungkinkan terlaksananya penyatuan ummah dalam erti kata sebenar,” katanya dalam kenyataan, malan tadi.

Tegasnya lagi, penyatuan yang berteraskan keindukan Bumiputera Melayu Islam itu adalah kunci keharmonian dalam kemajmukan Malaysia yang berbilang kaum.

“Umno hakikatnya tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah yang menjadi asas kestabilan politik tanahair.

“Sebab itulah sejak dari awal Umno sentiasa menekankan soal keikhlasan dan kejujuran dalam apa jua bentuk permuafakatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengulangi pendirian bahawa parti itu tidak sesekali dapat menerima mereka yang berterusan melakukan pengkhianatan dan mengambil sikap dengan menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama.

“Sehubungan dengan ini juga, apa juga aspek yang bersangkutan dengan isu ini haruslah dirujuk kepada kenyataan yang keluar melalui saluran rasmi saya mahupun parti,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, pertemuan Ahmad Zahid dan Abdul Hadi menguatkan ‘cakap-cakap’ MN bakal dihidupkan kembali bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – Malaysiapost

Komen