‘PRU sebenarnya untuk Umno jadi PM’ – Tun M

‘PRU sebenarnya untuk Umno jadi PM’ – Tun M

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa tujuan Umno menggesa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat adalah demi kepentingan parti itu.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), mendakwa desakan mengadakan PRU15 itu sebenarnya untuk menyelamatkan pemimpin Umno daripada dibawa ke mahkamah.

“PRU sebenarnya untuk Umno jadi Perdana Menteri (PM). Jadi PM boleh curi duit, boleh lantik Peguam Negara (AG) dan AG boleh lindung penyangak,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dr Mahathir turut mengingatkan bahawa individu yang memberi nasihat berkenaan politik semasa akan dianggap salah.

“Bukan orang yang menerima nasihat yang salah. Pemberi nasihat yang salah. Seperti ‘adviser’ British nasihatnya mesti dipatuhi,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesiapsiagaan parti itu termasuk sanggup meredah banjir sekiranya PRU15 dilaksanakan dalam musim tersebut.

Susulan daripada kenyataan Ahmad Zahid itu, ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) tampil menolak cadangan untuk mengadakan PRU15 kerana Monsun Timur Laut diramal akan melanda sehingga November ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli turut melancarkan petisyen Bantahan PRU15 Semasa Banjir: Selamatkan Nyawa Bukan Jawatan, pada 27 September lalu. – Malaysiapost

Komen