Puad cabar PKR dedah audit forensik kemenangan Rafizi

Puad cabar PKR dedah audit forensik kemenangan Rafizi

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mod Puad Zarkashi mencabar PKR mendedahkan laporan audit forensik berhubung kemenangan Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden parti itu.

Menurut Mohd Puad, audit forensik terhadap pemilihan PKR yang dibuat oleh konsultan audit berwibawa dilaporkan sudah lama siap.

“Dikatakan dapatan audit forensik itu ialah berlaku penipuan. Kemenangan Rafizi sebagai Timbalan Presiden tidak sah, ‘null and void’.

“Justeru PKR dicabar untuk mendedahkannya dengan segera kepada umum. Banyak implikasi jika PKR enggan mendedahkannya,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Mod Puad, implikasi daripada pendedahan itu sekali gus akan membuktikan PKR bukan parti telus dan ia adalah ‘Parti Kelentong Rakyat’ selain berada dalam kluster Panca Delima – ‘malam jadi manusia, siang jadi ular’.

“Kedua, PKR membuktikan ia parti yang tidak cekap dan tidak pandai mengurus. Pemilihan parti kelam kabut. Bagaimana PKR mahu mengurus institusi penting seperti Sutuhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Ketiga, PKR parti bernafsu besar. Buat idea yang hebat. Tetapi pelaksanaannya hancur. Pandai berjanji tetapi tidak mampu melaksanakannya,” katanya.

Justeru, Mohd Puad mencadangkan supaya pemilihan jawatan Timbalan Presiden perlu dibuat semula sebagaimana pemilihan Ketua Wanita parti itu.

“Mana keadilan yang diperjuangkan oleh PKR? Kalau pemilihan Ketua Wanita boleh batal dan arah pemilihan semula beberapa cabang, bukankah pemilihan Timbalan Presiden perlu dibuat semula?,” katanya. – Malaysiapost

Komen