Rafizi berdiam diri isu siasatan Tommy mungkin sebab terhutang budi

Rafizi berdiam diri isu siasatan Tommy mungkin sebab terhutang budi

TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli sepatutnya menyokong siasatan lanjut terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung buku tulisannya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ dan bukannya membangkitkan isu perkauman.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Rafizi juga perlu mendesak kerajaan mengeluarkan laporan penuh panel siasatan khas terhadap Tommy.

Namun beliau mendakwa, isu-isu yang disiasat termasuk penyalahgunaan kuasa dalam isu perlantikan hakim, kebebasan badan kehakiman, campur tangan badan eksekutif dalam badan pengadilan dan pendakwaan terpilih seolah-olah tidak penting bagi bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

“Yang Rafizi buat cuma menuduh Umno rasis sebab kami bangkitkan isu laporan panel penyiasat khas terhadap Tommy,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Rafizi yang mendakwa Umno sengaja menggunakan isu siasatan Tommy Thomas untuk membangkitkan sentimen perkauman supaya orang Melayu menyokong mereka.

Asyraf Wajdi menegaskan, Umno tidak rasis dalam membangkitkan isu buku penulisan bekas Peguam Negara itu, namun yang rasis sebenarnya adalah Tommy

“Jika tak percaya, cuma tanya bos kamu Anwar (Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Majlis Profesor Negara (MPN),” katanya dengan merujuk kepada kenyataan Anwar yang mengatakan pandangan Tommy tentang peguam kerajaan bukan sahaja satu penghinaan tetapi berbaur perkauman.

Menurut Asyraf Wajdi, siasatan lanjut ke atas Tommy adalah berdasarkan laporan panel penyiasat khas yang telah menjalankan siasatan selama sembilan bulan dan bukan langkah sewenang-wenang atau terburu-buru.

“Sekiranya Rafizi masih memandang penting kedaulatan undang-undang dan institusi kehakiman, dia patut menyokong siasatan lanjut terhadap Tommy dan mendesak kerajaan mengeluarkan laporan penuh panel siasatan khas tersebut.

“Bukan sekadar menuduh Umno rasis sahaja. Tapi itulah. Mungkin sebab Rafizi terhutang budi kepada Tommy sebab masa Tommy jadi Peguam Negara, banyak kes-kes jenayah Rafizi telah digugurkan – termasuk satu kes di mana Rafizi sudahpun disuruh bela diri.

“Kes tersebut digugurkan oleh pendakwa raya pada hari pertama Rafizi sepatutnya mula membela diri,” katanya.

Beliau turut bertanya pendapat Rafizi sama ada pemimpin PKR itu boleh menerima sekiranya Umno melakukan perkara sama yang dilakukan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Adakah Rafizi akan sokong sekiranya seorang peguam luar yang merupakan penyokong tegar Umno dilantik sebagai peguam negara dan seorang ahli Majlis Tertinggi Umno dilantik sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagaimana dilakukan kerajaan PH sebaik sahaja mereka berkuasa?

“Kenapa pula masa itu Rafizi tidak pernah bersuara? Jika UMNO buat yang sama, adakah Rafizi akan terima?” soalnya.

Terdahulu Rafizi yang ditemui media selepas sesi townhall di Pulau Pinang, semalam dilaporkan berkata, isu siasatan terhadap Tommy tidak sepatutnya dibangkitkan Umno kerana ia telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, isu itu sudah diambil tindakan melalui proses undang-undang dan beliau mendakwa Pemuda Umno telah menggunakan isu itu sebagai isu perkauman. – Malaysiapost

Komen