Syed Saddiq ingin terus berkhidmat di Parlimen Muar

Syed Saddiq ingin terus berkhidmat di Parlimen Muar

PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ingin terus memberi khidmat sebagai Ahli Parlimen Muar dan berharap rakyat membantu kempennya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata, tugasnya di Muar masih belum selesai kerana banyak lagi yang ingin dilakukannya.

“Kerja saya di Muar masih belum selesai. Banyak lagi yang saya nak buat. Saya ingin terus berkhidmat.

“Malam Mesra Muo akan diadakan untuk tolong kempen saya dalam PRU akan datang,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.

Dalam ciapan itu beliau turut memaklumkan mengenai kutipan sumbangan bagi membantu kempen pilihan rayanya termasuk melalui tempahan meja bagi majlis Malam Mesra Muar pada 22 Oktober ini di Dewan Bankuet Yong Sheng, Muar.

“Tiket/meja boleh diberli di http://bit.ly/malammesramuar. Kita jumpa 22 Oktober nanti,” katanya.

Sementara itu melalui pautan berkenaan, Syed Saddiq menegaskan perjuangannya di Muar adalah untuk semua, tidak kira agama dan bangsa, semua golongan pendapatan dan umur.

“Ini adalah amanah yang saya jaga atas kepercayaan Keluarga Muo (Muar).

“Keluarga Muo adalah keluarga saya,” katanya.

Menurutnya, bermula di Muar beliau tekad memperjuangkan sistem dasar yang kukuh untuk membantu membentuk kestabilan pentadbiran, meningkatkan taraf ekonomi, mengutamakan pendidikan, pengagihan sumber yang seimbang, membanteras korupsi dan menjamin kesejahteraan semua.

Beliau turut menyenaraikan beberapa perkara yang telah dilaksanakan sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Muar walaupun berdepan kekangan peruntukan.

Antara dilaksankannya adalah sumbangan 543 komputer riba dan 1,081 tablet untuk pelajar; 325,000 bank makanan; sumbangan RM10,000 kepada 31 masjid dan RM134,000 kepada surau-surau; pembinaan Pasar Baru Parit Jawa bernilai RM4.5 juta; sumbangan RM150 untuk 200 pelajar; dan RM100,000 kepada Tabung Didik Muar (Fasa 1) untuk 200 pelajar.

“Perjuangan ini belum selesai.Kini saya ingin meneruskan perjuangan saya ke peringkat seterusnya. Saya perlukan sokongan dan bantuan anda untuk perjuangan ini.

“Sumbangan anda yang budiman dan prihatin amat diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, perjuangannya turut memerlukan bantuan tenaga dan sukarelawan dalam pasukannya serta menyeru mereka yang bersemangat dan berdedikasi untuk sertai pasukannya. – Malaysiapost

Komen