Tiada lagi konsert terkinja-kinja di Kedah – MB Kedah

Tiada lagi konsert terkinja-kinja di Kedah – MB Kedah

PENGANJURAN acara Muda Mudi ‘Weekend Fest’ membabitkan konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila, tidak akan dibenarkan lagi di seluruh Kedah berkuatkuasa serta merta.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan penganjuran konsert sedemikian boleh meransang pelanggaran norma masyarakat tempatan dan tidak boleh diberikan ruang untuk membiak.

“Kejadian muda mudi terkinja-kinja tanpa arah gara-gara konsert hiburan di Balai Seni Alor Setar kelmarin menjadi penanda aras bahawa sebarang aktiviti yang boleh meransang pelanggaran norma masyarakat tempatan tidak boleh diberikan ruang untuk membiak.

“Penganjuran acara yang menyihatkan tubuh badan seperti ‘fun run’, ‘fun ride’, ‘treasure hunt’, pertandingan memancing, dan lain-lain pertandingan yang selari dengan undang-undang, garis panduan program terbuka dan sesuai dengan tatasusila masyarakat tempatan adalah digalakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua Pegawai Daerah yang mempengerusikan jawatankuasa berkaitan perlesenan hiburan telah dimaklumkan tentang hal ini dan arahan itu berkuatkuasa serta merta.

Semalam, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada penganjur sebuah festival untuk mengadakan konsert di Balai Seni berhadapan dengan Masjid Zahir, pada Sabtu lalu.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad, berkata MBAS melahirkan rasa kesal dengan tindakan penganjur terlibat yang disifatkan melanggar peraturan selain menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat negeri ini.

Menurutnya, konsert atau gig itu dibuat tanpa kebenaran dan pihaknya dimaklumkan penganjur hanya mendapat lesen untuk mengadakan ‘busking’ sahaja dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu termasuk memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan ratusan penonton terdiri daripada anak muda dengan pelbagai aksi di Balai Seni, Alor Setar, Kedah.

Aksi menari terkinja-kinja pengunjung terutamanya anak muda yang hadir turut tular melalui beberapa video di media sosial sejak kelmarin.

Acara berkenaan mengundang rasa kurang senang orang ramai memandangkan ia diadakan tidak jauh daripada Masjid Zahir. – Malaysiapost

Komen