Usul pilih timbalan speaker ditangguh lagi

Usul pilih timbalan speaker ditangguh lagi

USUL memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said ditangguhkan sekali lagi.

Ia sepatutnya dijadualkan berlangsung di Dewan Rakyat hari ini.

Usul penangguhan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau mencadangkan usul yang berada pada perkara nombor satu dalam Aturan Urusan Mesyuarat persidangan hari ini ditangguhkan ke persidangan akan datang.

“Bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 90 (2) dan dengan persetujuan Tuan Yang Dipertua, saya mengemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Aturan Mesyuarat 6.

“Iaitu bagi menangguhkan pemilihan timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat seperti perkara nombor satu yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul hari ini di mesyuarat ketiga akan datang,” katanya.

Usul itu disokong Timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan dipersetujui sebulat suara oleh ahli-ahli dewan.

Ini kali kelima penangguhan bagi pemilihan jawatan tersebut dibuat sejak Azalina melepaskan jawatan pada 23 Ogos tahun lalu. – Malaysiapost

Komen