46.2% gaji anak muda kurang RM2,500

46.2% gaji anak muda kurang RM2,500

SEBANYAK 46.2 peratus daripada anak muda di negara ini memperoleh jumlah pendapatan bulanan kurang RM2,500 sebulan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan sangat prihatin terhadap isu pekerjaan dihadapi anak muda kini dengan mengambil pelbagai inisiatif bagi menangani isu berkenaan.

Beliau berkata, ia termasuk perantis lepasan sekolah dan graduan yang membenarkan majikan menggaji pekerja berusia 18 hingga 30 tahun dengan menyediakan insentif berjumlah RM900 sebulan.

“Kerajaan turut memperkenalkan pelan pembiayaan berjumlah RM150 juta yang disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank, khusus untuk golongan belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

“Peruntukan RM4.8 bilion juga disalurkan menerusi inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia yang memberi 600,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda bagi membantu memperkukuhkan ekonomi belia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Idea Bina Negara (IBN) 2022, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut mengambil inisiatif menyediakan peruntukan sebanyak RM300 juta menerusi Program ePemula, iaitu Skim Transaksi Tanpa Tunai, yang dimanfaatkan oleh golongan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa pada pelbagai peringkat di institusi pengajian tinggi.

“Beberapa inisiatif seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan projek Perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar di seluruh negara sudah dilaksanakan menerusi pembinaan lima menara telekomunikasi baharu, lengkap dengan rangkaian 4G serta memastikan hampir 4,000 premis dilengkapi dengan gentian optik,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, IBN adalah sebuah platform digital yang bertujuan membolehkan golongan belia mengemukakan idea dan inspirasi mereka secara telus ke arah pembangunan negara serta memberi pandangan dalam penyediaan Bajet 2023.

“Dalam usaha memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia, kerajaan sentiasa peka dan prihatin terhadap belia dan anak muda dengan memastikan luahan suara mereka sentiasa didengari dan diberikan perhatian.

“Ini kerana anak muda mempunyai idealisme yang sangat penting kerana mereka didedahkan idea-idea yang lebih progresif yang diperolehi melalui input internet sama ada dari dalam mahupun luar negara,” katanya.

Malah Ismail Sabri berkata, inisiatif platform digital IBN ini telah membuka ruang kepada seluruh anak muda untuk menyalurkan idea dan menyuarakan permasalahan kepada kerajaan.

“Saya difahamkan, aplikasi IBN yang dibangunkan ini telah menerima lebih daripada 12,000 idea anak-anak muda seluruh negara.

“Saya amat berbesar hati kerana penyumbang idea terbesar sebanyak 57.9 peratus adalah dalam kalangan belia berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun,” katanya. – Malaysiapost

Komen