90 lagi mangsa sindiket pekerjaan rakyat Malaysia akan dibawa pulang

90 lagi mangsa sindiket pekerjaan rakyat Malaysia akan dibawa pulang

SERAMAI 90 rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia yang masih terkandas di luar negara kini sedang dalam proses untuk dibawa pulang.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata mengikut data sehingga September lalu, seramai 171 mangsa selamat dibawa pulang manakala baki 88 orang lagi masih sedang dikesan, lapor Kosmo Online.

“Perwakilan Malaysia di empat negara yang terlibat iaitu Kemboja, Myanmar, Laos, dan Thailand akan terus bekerjasama dengan kerajaan negara terlibat bertujuan pengesanan dan penyelamatan mangsa yang masih di bawah kawalan sindiket.

“Tindakan yang diambil perwakilan Malaysia termasuklah mendapatkan bantuan dan kerjasama pihak kerajaan negara terbabit, mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa yang terlibat.

“Ia bagi mengesan dan menyelamat, serta memberikan bantuan konsular sewajarnya bagi membolehkan mereka pulang dengan selamat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang ingin tahu langkah kerajaan membantu warganegara Malaysia yang telah ditipu dan diculik oleh sindiket penipuan pekerjaan terutamanya di rantau Asia Tenggara.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, angka rasmi mangsa ketika ini mencecah 349 orang, termasuk yang sedang dikesan berdasarkan laporan dan aduan dari waris.

Beliau berkata, majoriti mangsa terpedaya dengan sindiket tersebut setelah dijanjikan pelbagai kemewahan dan gaji besar, termasuk ada yang pergi bercuti namun terjerat dengan sindiket tersebut.

“Namun ada juga segelintir tidak mahu balik. Mengapa itu saya tidak dapat ceritakan. Tapi kita sentiasa nasihat rakyat Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga sudah mula mengadakan pesanan supaya rakyat Malaysia jangan mudah terpengaruh,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan akan mengambil tindakan terbaik bagi menyelesaikan isu pemerdagangan manusia melibatkan rakyat Malaysia di beberapa negara Asean.

Perdana Menteri berkata, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Dalam Negeri telah diarah mengambil tindakan segera dan lebih agresif. – Malaysiapost

Komen