Alhamdulillah, Ainul sihat semula…

Alhamdulillah, Ainul sihat semula…

KEADAAN kesihatan kanak-kanak yang pernah menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 4, dilaporkan semakin baik selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat jangkitan kuman, Ogos lalu.

Perkembangan Ainul itu dikongsi bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak menerusi hantaran Facebook semalam, yang turut berharap kondisi kesihatan anak sulungnya itu akan bertambah baik.

“Assalamualaikum, maaf lama dah saya tak ‘update’. Ainul dah sihat semula. Sihat macam selalu. Hampir sebulan dia di ICU hari tu, dalam tempoh tu, dua kali dia lalui fasa kritikal.

“Ainul ni memang Allah SWT jadikan dia anak yang kuat semangat. Banyak perkara besar yang dia dah lalui sepanjang usianya empat tahun ini. Semua ini atas izin dan kehendak-Nya,” tulisnya.

Dalam pada itu, Ahmad Safiuddin menzahirkan rasa syukur kerana dikurniakan Allah SWT anak istimewa seperti Ainul selain mendoakan ibu bapa senasib dengannya agar terus kuat.

“Saya sentiasa doa Ainul kekal sihat dan boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa.

“Dan saya turut doakan untuk anak anak lain yang sama keadaannya seperti ainul ini diberikan kesihatan, kebaikan, dan urusan ibu bapa mereka dipermudahkan dan dicukupkan segala rezeki.

“Beruntung kita ada anak begini. Mana tahu, di Padang Mahsyar nanti anak ini lah yang akan jadi saksi depan Allah SWT yang kita pernah menjaga kebajikan dan bertanggungjawab terhadap mereka dengan ikhas dan penuh kasih sayang,” katanya.

Ainul sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di ICU akibat jangkitan kuman, Ogos lalu. – Malaysiapost

Foto kredit: FB Ahmad Safiuddin

Komen