‘Benarkanlah Najib ke Parlimen’ – Puad

‘Benarkanlah Najib ke Parlimen’ – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempertikaikan keputusan Jabatan Penjara yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri prosiding Dewan Rakyat, minggu ini.

Mohd Puad berkata, malah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengakui Najib masih Ahli Parlimen Pekan yang sah serta boleh menghadiri sidang Parlimen.

“Masalahnya Ketua Pengarah Penjara tidak benarkan kerana isu keselamatan. Betul juga cakap peguam Datuk Najib. Ke mahkamah selamat pula.

“Apakah mahkamah lebih selamat dari Parlimen?,” soalnya dalam hantaran ringkas di Facebook.

Dalam masa sama, Mohd Puad mempersoalkan keberadaan Lim Guan Eng dalam Parlimen ketika menjadi Menteri Kewangan walaupun perbicaraan kes rasuahnya sedang berjalan.

“Bila bab Najib semua tidak boleh. Lim Guan Eng dilantik jadi Menteri Kewangan ketika perbicaraan kes rasuahnya sedang berjalan. Lepas lantik, buang kes. Kalau Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) semua boleh,” katanya.

Semalam, Jabatan Penjara menolak permohonan Najib yang juga bekas Perdana Menteri untuk menghadiri prosiding Dewan Rakyat, minggu ini.

Perkara itu disahkan peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menjelaskan permohonan anak guamnya untuk hadir pada prosiding itu yang dibuat pihaknya pada 19 September lalu kepada Ketua Pengarah Jabatan Penjara.

Malah, Muhammad Shafee menegaskan Najib masih lagi seorang ahli parlimen dan sepatutnya diberikan hak untuk hadir pada sidang parlimen yang turut akan mendengar pembentangan Bajet 2023 Jumaat ini. – Malaysiapost

Komen