Kalau nama bekas Peguam Negara Taufik atau Tahir pun wajar disiasat – Shahril Hamdan

Kalau nama bekas Peguam Negara Taufik atau Tahir pun wajar disiasat – Shahril Hamdan

SIASATAN lanjut terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung buku penulisannya “My Story: Justice in the Wilderness” adalah membabitkan soal integriti serta ketelusan dan bukannya bersifat perkauman.

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan, berkata dakwaan dibuat Tommy dalam bukunya menimbulkan tanda soal mengenai integriti dan ketelusan institusi Peguam Negara ketika di bawah kepimpinannya.

Beliau menegaskan, keputusan kerajaan untuk menyiasat bekas Peguam Negara itu dan respon Umno mengenai keputusan itu tiada kena mengena dengan perkauman.

Menurutnya, siasatan akan dijalankan antaranya mengikut Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 124(I) Kanun Keseksaan – Penyebaran Laporan Palsu, dan Seksyen 23 Akta SPRM Kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

Beliau berkata, dalam soal integriti dan ketelusan sesebuah kerajaan, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sendiri meminta siasatan terhadap projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) kerana perkara tersebut melibatkan Kerajaan telah mendedahkan beberapa laporan penting kepada umum.

“Jadi apa salahnya apabila Umno bangkitkan perkembangan mengenai siasatan pasukan petugas terhadap Tommy Thomas? Adakah Rafizi merasakan bahawa integriti dan ketelusan dituntut hanya apabila Barisan Nasional (BN) terlibat?

“Mungkin Rafizi cuba reka persepsi bahawa Umno bangkitkan isu ini kerana Tommy bukan Melayu. Ingin ditegaskan, kalau nama dia Taufik, Talib, Tahir dan dia tulis buku sama, pun patut disiasat.

“Ini soal integriti dan ketelusan bukan perkauman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Shahril mengulas mengenai kenyataan Rafizi yang mendakwa Umno sengaja memainkan sentimen perkauman berkaitan isu siasatan terhadap Tommy.

Beliau turut membangkitkan beberapa isu yang dalam buku bekas Peguam Negara itu dan dakwaan yang dibuatnya.

Menurutnya, antara isu dan dakwaan berkenaan adalah menggambarkan bahawa bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mendalangi insiden paling hitam 13 Mei 1969; berpengaruh dalam lantikan hakim; dan Tommy mendakwa kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim diakibatkan oleh kenderaan bomba, bukan kerana dipukul.

“Kalau hendak tuduh main sentimen perkauman, Tommy lebih sesuai dituduh buat perkara tersebut,” katanya.

Rafizi baru-baru ini dilaporkan berkata, isu siasatan terhadap Tommy tidak sepatutnya dibangkitkan Umno kerana ia telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, isu itu sudah diambil tindakan melalui proses undang-undang dan beliau mendakwa Pemuda Umno telah menggunakan isu itu sebagai isu perkauman. – Malaysiapost

Komen