Kerajaan perlu serius cari mekanisme penyelesaian gaji penjawat awam – CUEPACS

Kerajaan perlu serius cari mekanisme penyelesaian gaji penjawat awam – CUEPACS

KERAJAAN Pusat dan negeri digesa mencari penyelesaian segera berkaitan isu gaji penjawat awam yang dilihat tidak memadai dengan persekitaran semasa ekonomi ketika ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat yakin penglibatan serius semua peringkat berupaya menyelesaikan permasalahan gaji penjawat awam supaya lebih mesra dengan persekitaran ekonomi semasa negara.

“Hasrat ini jugalah diperjuangkan CUEPACS supaya kerajaan memberi keutamaan untuk menyemak semula gaji dan elaun penjawat awam pada masa kini dalam menangani kesan perubahan kenaikan harga barangan.

“Ketika ini sektor swasta telah melaksanakan gaji minimum RM1,500 berkuatkuasa 1 Mei lalu dan ia wajar diikuti sektor awam bagi mengimbangi keperluan semasa penjawat awam.,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, situasi ekonomi semasa yang menyaksikan peningkatan harga rumah serta kejatuhan mata wang memerlukan penetapan gaji minimum baharu di atas pendapatan garis kemiskinan (PGK).

Beliau juga yakin penetapan gaji minimum baharu untuk sektor awam, diikuti latihan dan pembangunan mampu meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Dalam pada itu, Adnan berkata, CUEPACS menyokong sepenuhnya komitmen kerajaan Sarawak yang mengkaji beberapa mekanisme bagi memastikan penjawat awam negeri itu menerima kebajikan kewangan lebih baik.

“Usaha ini sewajarnya diikuti oleh kerajaan negeri yang lain dengan Kerajaan Pusat perlu bertindak sebagai penyelaras,” katanya. – Malaysiapost

Komen