KKM ambil alih MySejahtera, isu selesai – KJ

KKM ambil alih MySejahtera, isu selesai – KJ

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menandatangani kontrak untuk memiliki sepenuhnya aplikasi MySejahtera, selaras saranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata langkah itu dengan sendirinya menghapuskan keraguan soal pemilikan aplikasi berkenaan atau data tidak selamat.

“KKM sudah berusaha untuk memindahkan MySejahtera daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada kementerian ini, jadi soal pemilikan atau keselamatan data sudah selesai.

“Saya sudah pastikan semua perkara itu dapat diselesaikan sebelum saya tinggalkan kementerian ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KKM, hari ini.

Terdahulu, PAC mendapati pelantikan KPISoft (Entomo) sebagai pembangun aplikasi MySejahtera pada Mac 2020 adalah tidak teratur serta tidak berlandaskan prosedur/tatacara perolehan kerajaan.

Menurut PAC, tiada sebarang minit ataupun dokumen sokongan yang wujud berkenaan dengan pelantikan berkenaan. Satu-satunya dokumen adalah Dokumen Perjanjian Kerahsiaan (NDA) yang ditandatangani antara MKN (bagi pihak Kerajaan) dengan KPISoft.

Dapatan itu adalah sebahagian lapan rumusan PAC hasil daripada dua prosiding yang dijalankan berhubung pengambilalihan MySejahtera iaitu pada 14 April dan 21 April 2022 yang mana antara saksi dipanggil ialah Khairy dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

PAC membentangkan Laporan Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera di bawah Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri di Parlimen, hari ini. – Malaysiapost

Komen