Pahang yakin capai sasaran 8 juta pelancong

Pahang yakin capai sasaran 8 juta pelancong

Ben Ibrahim

SEKTOR pelancongan Pahang yang terjejas teruk akibat Covid-19 sejak dua tahun lalu, sudah mula pulih dengan jumlah kedatangan pelancong ke negeri itu mencecah lima juta selepas pintu sempadan negara dibuka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata lebih banyak promosi perlu dilakukan bagi memastikan sektor pelancongan di negeri itu kekal kompetatif dan terus menjadi destinasi pilihan pelancong tahun depan.

“Walaupun sasaran kita adalah lapan juta (pelancong) berkunjung ke Pahang tahun ini, namun jumlah yang ada ketika ini (lima juta pelancong) menunjukkan (sektor pelancong) semakin pulih.

“Cuma, kalau berlaku banjir dalam dua atau tiga bulan akan datang, memang akan memberi kesan kepada kedatangan pelancong, semua akan terkesan, bukan saja pelancongan di Pahang, seluruh negara pun terkesan kalau banjir,” katanya ketika ditemui media di Esplanade Temerloh, semalam.

Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang memaklumkan kerajaan negeri sedang meneroka pasaran baharu bagi menarik pelancong dari New Zealand dan Australia.

Katanya, lebih banyak maklumat mengenai produk pelancongan terdapat di Pahang perlu dipromosikan di negara berkenaan.

“Pemilihan New Zealand dan Australia ini disebabkan kita ada penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Sydney (Australia) dan Auckland (New Zealand).

“Maknanya, kemudahan untuk pelancong dari negara berkenaan sudah sedia ada dan kita perlu menawarkan produk (pelancongan) yang kita ada kepada mereka.

“Sebagai contoh, ada pelancong tahu mengenai Genting Highlands, Pulau Tioman, tapi mereka tidak tahu ia berada di Pahang, jadi inilah tugas kita untuk menarik mereka datang ke Pahang kerana produk eko pelancongan selalunya menjadi pilihan pelancong dari negara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini, Mohd Sharkar berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti sekolah yang tidak lagi sesuai dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir.

Katanya, ini disebabkan sekolah berkenaan turut dilanda banjir hingga menyukarkan proses pemindahan mangsa banjir ditempatkan di situ ke PPS lain.

“Jadi kita dah kenal pasti dan gazetkan mana satu sekolah yang boleh jadi PPS dan mana yang tidak boleh dijadikan PPS.

“Begitu juga dengan kemudahan seperti tapak pendaratan helikopter, semuanya sudah dan sedang disiapkan untuk memastikan proses menghantar barangan keperluan asas tidak terganggu jika laluan darat tidak boleh digunakan,” katanya. – Malaysiapost

Komen