Pas tetap teruskan rundingan – Abdul Hadi

Pas tetap teruskan rundingan – Abdul Hadi

PAS tetap akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak membabitkan parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan tokoh masyarakat ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah.

Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata usaha itu dilakukan bagi mencapai titik persamaan dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan Pakatan Harapan (PH).

“Pas berpendirian dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan, di samping langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong, khususnya melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pertemuan dengan Abdul Hadi di kediamannya pada 17 September lalu.

Menurutnya, pertemuan empat mata itu berlangsung dengan penuh harmoni berteraskan semangat mahabbah dan ukhuwah persaudaraan Islamiah.

Ahmad Zahid berkata, sebarang usaha memulihkan Muafakat Nasional (MN) atau apa jua bentuk permuafakatan dan kerjasama mestilah berpandukan kepada prinsip dan semangat Piagam asal yang pernah dimeterai Pas dan Umno.

Sementara itu, Abdul Hadi menegaskan, Pas berpandangan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tidak perlu disegerakan.

“Ia mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen