Piala Malaysia 2022: Tiada aksi peringkat kumpulan

FORMAT Piala Malaysia 2022 menyaksikan tiada aksi peringkat kumpulan apabila semua pasukan akan diundi untuk memulakan cabaran di pusingan 16 secara timbal balik.

Keputusan Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) itu dicapai selepas mengambil kira beberapa faktor.

Antaranya kepadatan kalendar semasa dan impak kepada Piala Malaysia dengan ramalan cuaca membimbangkan menjelang akhir tahun yang tidak akan memberi MFL ruang untuk penangguhan.

Justeru MFL menerusi kenyataan berkata, ketiadaan perlawanan peringkat kumpulan dapat memberi ruang dan masa kepada kelab dan MFL, sekali gus mengimbangi kualiti kejohanan itu.

“Pada 29 September 2022, MFL telah mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Meteorologi Malaysia di mana memaklumkan akan berlaku hujan lebat pada Oktober sehingga Disember 2022.

“Tambahan pula, kerajaan telah mengeluarkan peringatan akan berlaku fenomena air pasang besar yang menyebabkan banjir di hampir seluruh negeri pada bulan-bulan akan datang.

“Jadual Liga Malaysia 2022 amat padat akibat penundaan beberapa perlawanan yang tidak dapat dielak pada awal musim disebabkan penularan Covid-19 dan kejohanan penting pasukan kebangsaan,” katanya.

Sementara itu MFL memaklumkan, jika Kuala Lumpur City layak ke final Piala AFC, Piala Malaysia yang menyambut ulang tahun ke-101 tahun ini bakal membuka tirai pada 25 dan 26 Oktober.

Namun jika tidak layak ke final, Piala Malaysia bakal bermula pada 21 dan 22 Oktober 2022.

Selepas aksi timbal balik bagi saingan peringkat 16 pasukan, suku akhir serta separuh akhir, aksi final pula bakal berlangsung di venue neutral pada 26 November. – Malaysiapost

Komen