PM hina Parlimen jika bubar dalam masa terdekat, dakwa Kit Siang

PM hina Parlimen jika bubar dalam masa terdekat, dakwa Kit Siang

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa akan melakukan penghinaan terhadap Parlimen jika membubarkannya sebelum Rang Undang-Undang (RUU) yang kini sedang dibahaskan, diluluskan dan diwartakan.

Sehubungan itu, Veteran DAP, Lim Kit Siang, menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, mengetuai kumpulan pemimpin parti politik yang diwakili di Parlimen bagi memastikan Perdana Menteri tidak berbuat demikian.

“Semalam misalnya, lima rang undang-undang telah diluluskan, tetapi ia akan terluput sekiranya Parlimen dibubarkan sebelum RUU ini diluluskan di Dewan Negara, diberikan perkenan Yang di-Pertuan Agong, dan diwartakan.

“Seorang Perdana Menteri yang bertanggungjawab tidak patut dengan sengaja menghina Parlimen dengan membuat Dewan Rakyat membahas dan meluluskan RUU yang tidak menjadi undang-undang akibat pembubaran Parlimen,” katanya dalam kenyataan di blognya hari ini.

Kit Siang mengulas maklumat yang diterima berhubung kemungkinan Parlimen akan dibubarkan pada 6 Oktober manakala pilihan raya pula diadakan 5 November ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu bersetuju dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang mengatakan beliau tidak patut masuk campur dengan keputusan Perdana Menteri mengenai pembubaran Parlimen. – Malaysiapost

Komen