Polis Pahang lupus dadah RM420,724

Polis Pahang lupus dadah RM420,724

Ben Ibrahim

POLIS Pahang melupuskan kira-kira 14 jenis dadah bernilai RM420,724 bagi kes yang direkodkan sejak 2016 hingga tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pelupusan itu membabitkan kes di semua daerah di negeri itu yang dikumpulkan.

Proses pelupusan akan dilakukan kontraktor di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan, kira-kira jam 12 tengah hari, esok.

“Antara jenis dadah yang akan dilupuskan termasuk heroin, syabu, methamphetamine, ketamin, air dan daun ketum.

“Kerja melupuskan barang kes itu boleh dilakukan selepas memperoleh perintah mahkamah dan tempoh rayuan bagi hukuman yang dikenakan kepada pesalah kes terbabit tamat.

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lalu, jumlah nilai rampasan dadah adalah berjumlah RM31.3 juta,” katanya dalam sidang media di Kuantan, petang tadi.

Sementara itu, Ramli berkata, sebanyak 4,401,934 batang rokok tidak bercukai bernilai RM2.81 juta dirampas dalam tempoh 2015 hingga September lalu.

“Berdasarkan operasi dan tangkapan kes rokok seludup bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lalu, sebanyak 25 kertas siasatan dibuka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 membabitkan tangkapan seramai 36 individu dari beberapa daerah antaranya Kuantan, Pekan, Rompin, Jerantut dan Cameron Highlands.

“Susulan daripada tangkapan dan rampasan tersebut sejumlah RM292,224 jumlah nilai kerugian cukai negara berjaya diselamatkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen