Polis siasat motif sebenar ejen kosmetik dilarikan – Acryl Sani

Polis siasat motif sebenar ejen kosmetik dilarikan – Acryl Sani

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) masih lagi menjalankan siasatan dan meneliti segala keterangan membabitkan kes penculikan ejen jualan produk kosmetik wanita Rosnazirah Mohd Naim yang berjaya diselamatkan di Thailand baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata siasatan terperinci itu bagi mengenalpasti motif sebenar kejadian selain mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

“PDRM mohon semua pihak bersabar supaya kita betul-betul dapat kenalpasti motif sebenar disebalik kejadian melarikan mangsa ini.

“Kita percaya dua atau tiga suspek yang terbabit dalam kes ini adalah rakyat negara ini dan kita masih lagi dalam usaha memastikan identiti mereka. Sedikit masa diperlukan bagi mengumpul segala keterangan yang relevan untuk dikongsikan dengan Polis Diraja Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Peringatan Hari Polis Marin PDRM ke-75 di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Batu Uban, Pulau Pinang, hari ini.

Menurutnya, jika perlu pihaknya akan memohon ekstradisi suspek yang berkenaan dari Thailand mengikut prosedur undang-undang.

Beliau sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Thailand atas kerjasama yang diberikan dalam membantu menyelamatkan mangsa yang dilarikan di negara berkenaan.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan kes-kes penculikan kanak-kanak yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini, beliau menegaskan siasatan mendapati dakwaan-dakwaan berkenaan kebanyakan adalah palsu.

“Cuma satu kes yang berlaku di Genting Highlands dan ia kini sudah didakwa di mahkamah untuk menentukan motif disebalik kejadian yang dikatakan cuba menculik kanak-kanak.

“Selain daripada kes itu, semua dakwaan lain didapati ia tidak berasas dan disebar untuk tujuan yang tertentu oleh pihak yang menyebarkannya,” katanya.

Acryl berkata, adalah penting untuk memastikan keselamatan ana-anak dan keprihatinan masyarakat terutama ibu bapa mengenainya kini semakin meningkat.

“Namun dalam meningkatkan keprihatinan mengenai keselamatan anak-anak, jangan pula sampai kita terbabit dalam menyebarkan berita-berita yang tidak benar yang boleh mendatangkan kegusaran masyarakat,” katanya.

Pada 13 September lalu, Rosnazirah dilarikan tiga lelaki dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios, dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat.

Dalam kes berkenaan seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur, bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

Komen