Selepas banjir, Deepavali, telur pula dijadikan alasan – Asyraf Wajdi

Selepas banjir, Deepavali, telur pula dijadikan alasan – Asyraf Wajdi

DAP kini dilihat memberikan pelbagai alasan dalam usaha mengelakkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata antara alasan yang diberikan pemimpin parti berkenaan adalah musim tengkujuh, musim perayaan dan yang terbaru telur.

“PRU-15 tidak boleh diadakan kerana bekalan telur tidak cukup…(Ahli Parlimen DAP Sim Tze Tzin).

“Selepas banjir, Deepavali, dan yang terbaru telur, agak-agak apa lagi alasan untuk tidak mengadakan PRU?” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan berita berhubung kenyataan-kenyataan pemimpin DAP yang memberikan pelbagai alasan untuk mengelak PRU diadakan tahun ini.

Terdahulu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, jika Parlimen dibubarkan pada bulan ini, bermakna PRU-15 akan diadakan ketika masyarakat India hendak menyambut Deepavali.

Menurutnya, jika PRU-15 dilangsung pada bulan Januari pula, ketika itu masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Cina dan jika pada bulan April, masyarakat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Anthony Loke berkata, pemilihan tarikh pilihan raya perlu ada sensitiviti terhadap setiap kaum yang menyambut perayaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin pula menggesa pemimpin kerajaan untuk menumpukan perhatian menyelesaikan masalah kekurangan telur di pasaran daripada bercakap mengenai PRU akan datang. – Malaysiapost

Komen