Zahid ingatkan rakyat jangan lagi terpedaya dokumen manifesto PH

Zahid ingatkan rakyat jangan lagi terpedaya dokumen manifesto PH

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat berhati-hati agar tidak lagi terpedaya dengan kelicikan dan manipulasi dokumen manifesto Pakatan Harapan (PH) yang bakal muncul menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, berkata beliau percaya pasti rakyat masih mengingati dokumen manifesto PH yang ‘licik’ sehinggakan merosakkan rasional manusia pada 2018 lalu.

Katanya, dokumen yang didakwa bukan kitab suci itu muncul sekitar 2018 menghasut gelora nafsu manusia sehingga memusnahkan kejujuran dan realistik insani.

“Mereka yang pernah ‘mengimaninya’ terawang-awang dalam halusinasi fantasi tidak bertepian sehingga meranap intelek dan logik akal.

“Manusia yang ‘menganutinya’ dijanjikan ‘syurga dunia’ serta kemewahan tidak masuk akal menyebabkan begitu ramai terpesona lalu dimangsakan.

“Namun sejarah telah membuktikan bahawa dokumen ini ternyata sarat kepalsuan, pembohongan, penipuan yang memesongkan dengan janji-janji manis,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Ahmad Zahid lagi, dokumen manifesto yang umpama ‘bulan dan bintang’ itu tampak menarik dan mampu digapai dengan mudah, tetapi realiti adalah sebaliknya.

“Setakat ini tiada siapa berani mengaku mencipta dokumen tipu daya ini – petunjuk paling hampir cumalah individu mengaku menjadi tukang tulis.

“Hanya yang pasti terdapat gerombolan yang suatu ketika dulu menjadikan dokumen bukan kitab suci ini alat untuk memanfaatkan kepentingan mereka,” katanya.

Jelas Ahmad Zahid lagi, selepas mengaut manfaat, mereka akan cuba membuat rakyat terlupa kewujudan dokumen manifesto itu menerusi pelbagai penceritaan untuk mengelirukan.

“Kini selepas hampir lima tahun berlalu terdapat bayang-bayang ‘dokumen’ seumpamanya akan muncul semula untuk memperdaya lagi.

“Justeru, rakyat Malaysia haruslah berhati-hati kali ini. Usah terlalu mudah dihalusinasi lagi oleh kelicikan dan manipulasi yang amat berbahaya serta memusnahkan itu.

“Beringatlah kepada kisah seperti mansuhkan tol dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)percuma, InsyaAllah kita akan mengetahui apabila ia telah kembali,” katanya. – Malaysiapost

Komen