3 negeri PH tidak bubar DUN tahun ini – Anwar Ibrahim

3 negeri PH tidak bubar DUN tahun ini – Anwar Ibrahim

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Majlis Presiden gabungan itu menerima pendirian tiga negeri yang dikuasai mereka, tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini.

Presiden PKR itu berkata, mengambil kira faktor banjir besar yang akan memberi kesusahan kepada rakyat, Majlis Presiden PH menerima pendirian tiga negeri terbabit agar pembubaran DUN masing-masing hanya akan dilakukan pada tahun hadapan.

Beliau berkata, Selangor bersama Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan memfokuskan kebajikan rakyat, termasuk membuat persiapan menghadapi banjir.

“Keputusan mesyuarat Majlis Presiden hari ini, ketiga-tiga negeri yang dipimpin PH akan menumpukan perhatian menangani permasalahan banjir dan meringankan beban mangsa yang terpaksa menghadapi bencana banjir.

“Mereka tidak akan mengadakan pilihan raya sehingga selesai isu banjir. Mereka ada ruang menetapkan pembubaran DUN selepas itu (banjir). Mereka takkan bersama kerajaan persekutuan, seandainya PRU diadakan semasa banjir,” katanya kepada media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Parlimen, hari ini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan, Datuk Seri Amirudin Shari serta Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. -Malaysiapost

Komen