Boleh WhatsApp PDRM jika ada maklumat Jho Low – Hamzah

Boleh WhatsApp PDRM jika ada maklumat Jho Low – Hamzah

ORANG ramai yang mempunyai maklumat di mana Low Taek Jho atau Jho Low bersembunyi, boleh menyalurkan maklumat itu melalui aplikasi WhatsApp PDRM.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata PDRM amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lokasi keberadaan Jho Low supaya menyalurkannya melalui talian CCID Infoline di 013-211 1222 (WhatsApp sahaja) atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Setiap maklumat diterima akan diteliti kesahihannya dan disalur kepada INTERPOL bagi dapatkan pengesahan lanjut daripada negara ahli yang terlibat,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah menjawab pertanyaan lisan RSN Rayer (Jelutong-PH) yang ingin tahu langkah sedang diambil untuk mengesan dan menangkap Jho Low.

Hamzah berkata, PDRM tidak pernah berhenti dalam usaha mengesan, seterusnya membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan itu ke Malaysia.

Katanya, pelbagai usaha dan langkah telah diambil termasuk memohon dan memperoleh Notis Merah daripada INTERPOL terhadap sejak tahun 2018.

“Untuk makluman, setelah Notis Merah dikeluarkan INTERPOL, 195 negara bertanggungjawab menyalurkan maklumat kepada negara yang memperoleh Notis Merah bagi proses permohonan ekstradisi.

“Selain itu, PDRM menjalin kerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat, pihak berkuasa Singapura dan agensi penguatkuasaan negara lain,” katanya. – Malaysiapost

Komen