Budak 2 tahun maut terjatuh dari kerusi bayi

Budak 2 tahun maut terjatuh dari kerusi bayi

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas kepalanya terhentak ketika jatuh dari kerusi bayi di sebuah restoran dekat Taman Sutera di Johor Bahru, semalam.

Kejadian tersebut berlaku ketika mangsa sedang makan bersama keluarganya di restoran tersebut, kira-kira jam 3 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah, berkata siasatan awal mendapati sewaktu makan, mangsa menolak meja menggunakan kakinya menyebabkannya terjatuh bersama kerusi bayi berkenaan.

“Ketika terjatuh, kepala kanak-kanak itu terhentak pada lantai dan mangsa dikatakan menangis sebelum pengsan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fariz Ammar berkata, kejadian disaksikan pekerja restoran terbabit sebelum bapa kanak-kanak itu bergegas membawanya ke klinik swasta, namun dinasihatkan doktor untuk dihantar terus ke hospital berikutan keadaannya dilihat serius.

“Bapa kanak-kanak itu kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Sehingga kini tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Malaysiapost

Komen