Debaran Bajet 2023 makin terasa – Tengku Zafrul

Debaran Bajet 2023 makin terasa – Tengku Zafrul

MENTERI Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan kementeriannya kini sedang giat merangka Belanjawan 2023, yang dijangka akan dibentangkan Jumaat ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau memuat naik beberapa keping gambar situasi terkini kakitangan kementeriannya yang bersengkang mata menyiapkan Belanjawan 2023 untuk #KeluargaMalaysia.

“Debaran bajet makin terasa. Sekarang nak dekat 12 tengah malam, tapi #TeamMOF masih bersengkang mata merangka bajet untuk #KeluargaMalaysia.

“Dah lebih tiga minggu mereka berkampung di sini. Ada yang dah beberapa hari tak balik rumah bagi memastikan penyediaan bajet yang Responsif, Bertanggungjawab dan Reformis,” katanya dalam hantaran itu malam tadi.

Hantaran Tengku Zafrul itu sekali gus menafikan spekulasi yang bertiup kencang bahawa tiada pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat ini.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada kumpulan yang berusaha menyiapkan Belanjawan 2023 agar berjalan dengan baik.

“Mohon titipkan doa untuk seluruh team MoF agar penyediaan bajet berjalan lancar. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang dan pelaksana,” ujarnya.

Sebelum ini, ada desas desus menyatakan Bajet 2023 tidak akan dibentangkan Jumaat ini, sebaliknya Parlimen akan dibubarkan sebelum hari pembentangan itu. – Malaysiapost

Komen