Kesesakan dijangka berlaku di lebuh raya utama hujung minggu ini

Kesesakan dijangka berlaku di lebuh raya utama hujung minggu ini

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendaliannya setiap hari bermula Jumaat hingga Isnin ini berikutan cuti umum Maulidur Rasul.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz, berkata jumlah itu dijangka berterusan pada hujung minggu ini memandangkan kebanyakan pengguna mengambil kesempatan cuti selama tiga hari.

“Sejak beralih ke fasa endemik, PLUS merekodkan jumlah trafik harian sepertimana tempoh pra-pandemik iaitu 1.7 juta kenderaan setiap hari.

“Pada ketika ini, jumlah tersebut melonjak kepada 1.9 juta kenderaan sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusuf berkata, sehubungan itu, pengguna lebuh raya disarankan untuk membuat persediaan dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kesesakan.

“Sebelum memasuki lebuh raya, pelanggan dinasihatkan untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go dan e-Wallet (bagi mereka yang menggunakan RFID).

“Selain itu, dengan memuat turun aplikasi PLUS, pengguna lebuh raya juga boleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini,” katanya.

Dalam masa sama, orang ramai turut dinasihatkan memakai pelitup muka apabila berada di kawasan sesak mengikut prosedur operasi standard (SOP) pasca Covid-19. – Malaysiapost

Komen