Malaysia kekal Ahli Majlis ICAO untuk enam penggal

Malaysia kekal Ahli Majlis ICAO untuk enam penggal

MALAYSIA melakar sejarah kekal mempertahankan kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) selama enam penggal berturut-turut, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, kejayaan tersebut diraih selepas Malaysia berjaya dalam pemilihan semula ICAO di bawah Kategori III bagi penggal 2022-2025.

“Sukacita dimaklumkan bahawa Malaysia telah berjaya dalam pemilihan semula Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO)!

“Ini menjadikan Malaysia kekal sebagai ahli Majlis ICAO untuk 6 penggal berturut-turut sejak tahun 2007.

“Menerusi pemilihan yang dijalankan pada 4 Oktober 2022 di Montreal Kanada ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung ICAO, Malaysia telah memperoleh 136 undi,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Ka Siong dalam hantaran itu turut memaklumkan kejayaan itu adalah hasil sokongan dan kerja keras bersama Wakil Tetap Malaysia ke ICAO; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada; Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT); Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Turut menyumbang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM); serta pihak industri penerbangan awam Malaysia khususnya Malaysia Airlines Berhad; AirAsia, Batik Air; Raya Airways; Myjet Express, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd.

“Malaysia akan terus memberikan komitmen berterusan kepada ICAO untuk mempertahan dan menegakkan aspek-aspek keselamatan penerbangan awam, inovasi dan kemapanan penerbangan global, serta memanfaatkan kemenangan ini untuk kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya,” katanya. – Malaysiapost

Komen