Pemasangan lokar atasi bebanan beg sekolah murid – Dr Radzi Jidin

Pemasangan lokar atasi bebanan beg sekolah murid – Dr Radzi Jidin

SEBANYAK 626 sekolah dua sesi akan dipasang lokar yang bakal meringankan beban beg sekolah 249,646 murid sekolah rendah.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin yang berkata, fasa pertama kerja pemasangan dijangka siap sepenuhnya akhir bulan ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin

Beliau berkata, kemudahan ini adalah antara tujuh inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani isu beg berat.

Menurutnya, bagi fasa pertama, lokar berkenaan akan dibekalkan kepada murid tahap satu iaitu Tahun Satu dan Tahun Dua dengan fasa kedua dijadualkan tahun depan.

“Inisiatif untuk kurangkan masalah beg berat (dalam kalangan murid) sudah diumumkan pada 6 Mac 2022 dan Alhamdulillah hari ini, ia berjaya dilancarkan. Ia antara inisiatif paling besar dan tak pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Program ini membabitkan kos RM37.3 juta untuk fasa pertama membabitkan murid Tahun Satu dan Tahun Dua dengan fasa kedua akan diteruskan pada 2023 membabitkan murid Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Inisiatif Menangani Beg Berat: Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, Gombak, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

Menjelaskan mengenainya, Radzi berkata, kerja pemasangan yang sedang giat di seluruh negara termasuk 38 sekolah di daerah Gombak yang telah menerima lokar berkenaan.

Radzi menjelaskan, Jemaah Nazir akan sentiasa turun padang bagi tujuan melihat sendiri pematuhan di semua sekolah terbabit.

“Kita minta Jemaah Nazir turun ke bawah bagi memantau bagi aspek pematuhan kepada tujuan inisiatif ini.

“Selain pemantauan, kita juga perlukan kerjasama baik (dari semua pihak) termasuk murid, ibu bapa dan guru supaya budaya ini dapat dibina dan masing-masing memahaminya sekali gus beg dibawa murid tidak seberat seperti sebelumnya,” katanya. -Malaysiapost

Komen