Perdana Menteri menghadap Agong petang esok?

Perdana Menteri menghadap Agong petang esok?

KETIKA spekulasi pembubaran Parlimen semakin rancak, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, esok.

Memetik sumber kerajaan di Putrajaya, Perdana Menteri dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kira-kira jam 4 petang.

Bagaimanapun, tidak dapat disahkan tujuan Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong, sama ada untuk mempersembahkan laporan Belanjawan 2023 atau memohon perkenan untuk membubarkan Parlimen.

Belanjawan 2023 dijadualkan dibentang di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.

“Perdana Menteri dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong sekitar 4.30 petang esok,” kata sumber kepada Malaysiapost.

Semalam, Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno bahagian di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur.

Pada pertemuan itu Perdana Menteri telah memberi bayangan akan memohon perkenan bagi pembubaran Parlimen dalam masa terdekat ini.

Ia selaras dengan tuntutan Umno yang mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.- Malaysiapost

Komen