PKZ Pahang jalin kerjasama dengan pengusaha kedai emas

PKZ Pahang jalin kerjasama dengan pengusaha kedai emas

Ben Ibrahim

BAGI menyebarluas maklumat berkaitan tanggungjawab membayar zakat, Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang menjalin kerjasama dengan pengusaha kedai emas di negeri itu.

Jalinan kerjasama itu juga bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan membayar zakat, termasuk zakat emas.

Pengurus Besar PKZ Pahang, Datuk Halidan Md Daud berkata, kolaborasi itu juga menyaksikan pengusaha kedai emas menjadi orang perantaraan dalam menyampaikan risalah dan panduan pengiraan zakat emas di premis mereka.

“Menjadi tujuan utama PKZ Pahang untuk membantu memberikan pemahaman berkaitan zakat kepada semua pihak, sama ada pengusaha kedai emas dan juga pelanggan mereka.

“Penyaluran maklumat melalui premis menjual emas dilihat mampu memberi kesan lebih baik kepada pelanggan, jadi sebab itulah kita adakan kerjasama ini,” katanya kepada media selepas Majlis Apresiasi PKZ Pahang Bersama Pengusaha Kedai Emas Pahang di Kuantan.

Mohd Halidan turut optimis pihaknya dapat mencapai sasaran kutipan zakat berjumlah RM193 juta tahun ini.

Katanya, sehingga September lalu, PKZ Pahang sudah mengutip RM121 juta daripada 89,811 pembayar zakat di negeri itu. – Malaysiapost

Komen