PRU15: Kalau tak banjir, orang marah kita juga? – Hishammuddin

PRU15: Kalau tak banjir, orang marah kita juga? – Hishammuddin

DATUK Seri Hishammuddin Hussein berkata sama ada banjir atau sebaliknya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetap bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Menjawab pertikaian parti pembangkang yang mempersoal keputusan Umno untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) tahun ini juga, Menteri Kanan Pertahanan itu berkata ATM sentiasa membantu masyarakat yang terkesan banjir, termasuk di luar musim tengkujuh.

“Ada orang marah kalau kita nak buat PRU masa banjir, kalau tak bajir? Orang akan marah kita juga.

“Jadi dari segi persiapan (ATM), saya akan ke Pahang dalam masa terdekat, di situ saya akan umumkan persiapan kita untuk berhadapan kemungkinan banjir.

“ATM bukan musim banjir pun, (misalnya) di kawasan Baling banjir juga, kita bina jambatan Bailey dua hari saja, jadi kita akan teruskan (bersiap siaga) sama ada PRU atau tidak,” katanya hari ini.

Hishammuddin berkata ia bukan sesuatu di luar kemampuan ATM jika PRU diadakan dan pada masa sama negara berdepan banjir.

Sementara itu beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong berkata, pihaknya di peringkat Umno bahagian, selain Kementerian Pertahanan serta ATM, sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika Parlimen dibubarkan esok.

“Bagi saya di Sembrong, kepimpinan MIDFEF dan ATM, kalau (Parlimen) bubar esok pun kita sedia,” katanya. – Malaysiapost

Komen