Tahu ditolak rakyat, punca pembangkang ‘takut’ berdepan PRU15 – Zahid

Tahu ditolak rakyat, punca pembangkang ‘takut’ berdepan PRU15 – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan muslihat sebenar pihak pembangkang enggan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan kerana sedia maklum akan ditolak majoriti pengundi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata fakta tersebut penting diperjelaskan agar rakyat mampu membuat pertimbangan dalam menilai fitnah baharu pembangkang.

“Jentera BN perlu bingkas menjelaskan kepada rakyat iaitu lawan BN membantah PRU15 bukanlah kerana musim hujan.

“Rakyat perlu dibentangkan dengan fakta lawan BN telah menolak proses demokrasi daripada dilangsungkan sejak tahun lalu. Bermula alasan Covid-19 masih ada ketika imuniti kelompok telah dicapai dan segala aktiviti sosial/ekonomi kembali beroperasi.

“Kemudian memberi pula alasan tidak perlu diadakan PRU15 kerana pembangkang telah menjalin MoU (Memorandum Persefahaman) dengan kerajaan,” katanya dalam hantaran Facebook.

Ahmad Zahid berkata, rakyat perlu difahamkan PRU15 amat penting penting bagi membentuk kerajaan yang stabil dan kukuh untuk berdepan risiko bencana.

Katanya, PRU15 mustahak bagi membentuk kerajaan yang berdaya mendepani ramalan kemelesetan ekonomi global tahun depan.

“Rumusannya mudah sahaja. Lawan BN tahu fitnah dan janji-janji baharu mereka tidak dapat memperdayakan rakyat lagi,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, pembangkang berharap alasan musim hujan dapat terus ‘membeli masa’ untuk mengelak daripada berdepan penentuan rakyat. – Malaysiapost

2 Comments

  • Kali Mutu

    Rakyat sudah tahu sebab apa pebangkang tidak berani hadapi PRU15 dan mereka buat alasan musim tekujong. Apa rakyat boleh buat dah Agong setuju dengan pandapat pembangkang.

  • Kali Mutu

    The rakyat understand but the Agong supported the the political parties refusing the General Election.

Komen