Zahid bertemu 40 Adun Johor malam ini

Zahid bertemu 40 Adun Johor malam ini

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan tertutup bersama 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor, malam tadi.

Kenderaan membawa Presiden Umno itu, dilihat memasuki pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi kira-kira jam 8.15 malam tadi.

Difahamkan pertemuan yang bermula jam 9 malam adalah untuk membincangkan pembahagian tugas jentera negeri bagi berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Kesemua pemimpin utama Umno Johor selain 40 ADUN sudah berada di kediaman rasmi sejak jam 8 malam tadi.

Turut dijadualkan hadir ke pertemuan tertutup itu Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian dan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno bahagian di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur.

Pada pertemuan itu Perdana Menteri telah memberi bayangan akan memohon perkenan bagi pembubaran Parlimen dalam masa terdekat ini.

Ia selaras dengan tuntutan Umno yang mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.- Malaysiapost

Komen