Bajet 2023: Dibentang atau tidak, tunggu esok – PM

Bajet 2023: Dibentang atau tidak, tunggu esok – PM

SPEKULASI sama ada Bajet 2023 akan dibentangkan atau sebaliknya, akan terjawab esok, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak akan mendedahkan sebarang perkara membabitkannya atau semua pihak tidak lagi berdebar menunggu pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan esok di Dewan Rakyat.

“Tunggu esok. Kalau saya sebut bentang hari ini, sudah tiada debarannya.

“Macam-macam spekulasi, ada kata bentang, ada kata tak bentang. Jadi lebih baik spekulasi itu diteruskan sampai esok baru tahu jawapannya,” katanya memetik Berita Harian

Beliau memberitahu pemberita selepas pertemuannya dengan pegawai Kementerian Kewangan yang menyediakan dokumen Bajet 2023 di kementerian itu, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Kementerian Kewangan pada jam 12.13 tengah hari, sebelum memasuki ke bangunan Perbendaharaan sambil diiringi Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah serta Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Yamani Hafez Musa serta pegawai kanan kementerian.

Khabar angin mengenai pembubaran Parlimen turut menimbulkan persoalan sama ada Bajet 2023 akan dibacakan esok atau selepas kerajaan baharu dibentuk kelak.

Perdana Menteri dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong petang ini bagi memberi taklimat mengenai bajet serta memohon perkenan untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ismail Sabri berkata, kehadirannya ke Kementerian Kewangan hari ini untuk bertemu dengan pegawai kementerian yang terbabit menyediakan dokumen Bajet 2023.

Beliau berkata, ia memang dilakukan setiap tahun.

“Kedatangan saya untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka. Saya difahamkan kebanyakan mereka ini dah tiga minggu tidur di kementerian kerana menyediakan bajet dan sebagainya.

“Jadi saya datang untuk berjumpa mereka sendiri untuk mengucapkan terima kasih di atas usaha mereka dalam menyediakan bajet,” katanya. – Malaysiapost

Komen