Bincang bubar Parlimen jika berkesempatan – PM

Bincang bubar Parlimen jika berkesempatan – PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tujuan lain termasuk berkaitan pembubaran Parlimen mungkin dibincangkan pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini jika berkesempatan.

Beliau berkata, kebiasaannya pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilakukan setiap minggu, sehari sebelum mesyuarat Kabinet bagi membincangkan perihal berkaitan Kabinet.

Menurutnya, perbincangan itu mungkin mengambil masa yang panjang memandangkan banyak perkara yang akan diterangkan selain beliau menerima pesanan daripada Seri Paduka, lapor Bernama.

“Tak pasti lagi nak bawa atau tak (tarikh pembubaran Parlimen). Kalau bincang hal Kabinet panjang sangat, pasal Kabinet sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditanya sama ada tarikh pembubaran Parlimen akan dibawa pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Ditanya lagi sama ada terdapat agenda ‘tambahan atau khusus’ semasa menghadap Agong, Ismail Sabri berkata: “Kita tengok, kalau bincang sampai Maghrib tak sempat nak bincang hal lain”.

Ismail Sabri dijangka menghadap Seri Paduka pada pukul 4 petang ini di Istana Negara. – Malaysiapost

Komen