“Esok ada mesyuarat jemaah menteri, ya” – Annuar

“Esok ada mesyuarat jemaah menteri, ya” – Annuar

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan mesyuarat Kabinet akan berjalan seperti biasa sebagaimana yang dijadualkan esok.

Ia sekali gus menjawab persoalan sama ada Parlimen dibubarkan hari ini atau sebaliknya, namun menjelaskan perkara itu akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet nanti.

“Esok ada mesyuarat jemaah menteri, ya.

“Parlimen belum bubar lagi, apa hasil keputusan, kita bawa dalam mesyuarat esok bagi perkara yang melibatkan implikasi kewangan.

“Tidak ada kena mengena bubar tak bubar sebab Kabinet bersidang esok,” lapor Utusan Malaysia.

Pada jam 4 petang tadi, Perdana Menteri telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, dipercayai bagi memohon pembubaran Parlimen.

Majlis menghadap itu berlangsung hampir sejam.

Annuar dalam masa sama turut menjelaskan, kaedah perundingan kini berbeza dengan kerajaan terdahulu memandangkan pentadbiran di bawah kepemimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melibatkan pelbagai parti.

“Kalau dulu satu parti membentuk kerajaan, sekarang kerajaan dibentuk beberapa gabungan, dalam ada BN, PN, GPS, kaedah tidak sama lagi seperti tahun sebelum ini yang kerajaan BN.

“Presiden dan Perdana Menteri orang yang sama, partinya pun satu. Sekarang keadaan berbeza sedikit, jadi bagi ruang kepada Perdana Menteri,” katanya – Malaysiapost

Komen