Istana Negara jadi tumpuan, PM jumpa Agong petang ini

Istana Negara jadi tumpuan, PM jumpa Agong petang ini

WAKIL media daripada pelbagai agensi termasuk luar negara mula ‘berkampung’ di Istana Negara sejak pagi tadi.

Ia susulan desas-desus Perdana Menteri bakal mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini bagi mendapat perkenan untuk membubarkan Parlimen.

Dilaporkan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berangkat tiba di Istana Negara, kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi.

Baginda berangkat pulang selepas menghadiri program kerajaan berkaitan persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh di Ampang, pagi tadi.

Difahamkan, Perdana Menteri dijangka mengadap Yang di-Pertuan Agong kira-kira jam 4 petang ini.

Bagaimanapun, tidak dapat disahkan tujuan Ismail Sabri menghadap baginda, sama ada untuk mempersembahkan laporan Belanjawan 2023 atau memohon perkenan untuk membubarkan Parlimen.

Pagi tadi, Al-Sultan Abdullah berangkat ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dekat Ampang.

Dalam lawatan itu, baginda mendengar sembah taklimat secara terus daripada Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai perkembangan terkini ramalan cuaca negara yang ketika ini berada dalam peralihan monsun.

Lawatan baginda itu menarik perhatian susulan khabar angin mengenai pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – Malaysiapost

Sebahagian wakil media berkumpul di Istana Negara sejak pagi tadi

Komen