Jho Low: Jangan beri harapan palsu – Syed Saddiq

Jho Low: Jangan beri harapan palsu – Syed Saddiq

PARTI Muda mengingatkan pihak berkuasa agar membawa pulang penjenayah dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ke Malaysia.

Presidennya, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata ia bagi memastikan Jho Low dibawa ke muka pengadilan, seterusnya menutup episod skandal kehilangan wang yang membelenggu negara.

“Jangan bagi kami harapan palsu. Banyak dah kenyataan cakap ada usaha nak bawa Jho Low balik. Bekas AG (Peguam Negara) pun siap ada berjumpa dengan peguam Jho Low minta selesai.

“Dia perlu berdepan keadilan di Malaysia! Ini bukan tindakan membalas dendam, tetapi penutup kepada episod gelap bagi rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam, media melaporkan Malaysia didakwa tidak pernah membuat sebarang permohonan kepada China bagi membawa pulang Jho Low.

Jho Low yang masih bebas berada di luar negara menjadi individu buruan paling dikehendaki Malaysia berikutan menjadi dalang utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu didedahkan penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and the World’, Bradley Hope menerusi episod kelima program ‘Di Mana Jho Low’ yang disiarkan di platform aplikasi video YouTube.

Memetik sumber dalam kerajaan China, Hope mendakwa, tiada pihak di Malaysia benar-benar meminta China untuk mengembalikan Jho Low, walaupun laporan sebelum ini dinyatakan sudah ada usaha mendapatkan ahli perniagaan itu.

Dalam video berdurasi 12 setengah minit itu, Hope memaklumkan, tiada sebarang permohonan dikemukakan pihak berkuasa sama ada polis, pejabat Peguam Negara atau unit rasuah asing bagi mendapatkan ahli perniagaan dalam pelarian itu. – Malaysiapost

Komen