Lori bijih terbabas rempuh treler, SUV

Lori bijih terbabas rempuh treler, SUV

Ben Ibrahim

SEBUAH lori membawa muatan bijih terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lagi treler di Kilometer 147.3 Lebuh raya Pantai Timur, dekat persimpangan Chenor, Maran, pagi tadi.

Turut terbabit dalam kemalangan itu, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang berada di belakang treler membawa siling kapur.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pusat gerakan operasi (PGO) Bomba Pahang menerima laporan kemalangan kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, nahas dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu lori bijih mengawal kenderaan sebelum terbabas.

“Sebaik memasuki laluan bertentangan, lori bijih itu bertembung dengan treler membawa muatan siling kapur yang sedang menghala ke Kuantan.

“Kenderaan SUV yang berada di belakang treler tidak sempat memberhentikan kenderaan dan melanggar treler berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, seorang pemandu cedera manakala dua lagi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulfadli berkata, sebuah jentera bersama enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kemalangan itu.

Katanya, semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Mangsa yang cedera dihantar ke klinik kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan susulan. – Malaysiapost

Komen