Menteri PN belakangi PM selaku ketua kerajaan – Shahril Hamdan

Menteri PN belakangi PM selaku ketua kerajaan – Shahril Hamdan

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin diselar kerana tidak tetap pendirian berhubung isu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang kemungkinan diadakan pada bila-bila masa.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, sebelum ini Muhyiddin dengan lantang berkata sudah bersedia masuk gelanggang sekiranya Parlimen dibubarkan walaupun esok.

“Bulan lepas dengan cukup gah mengatakan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) gagal mengurus ekonomi dan berpandangan bahawa ‘pilihan raya wajar diadakan’. Kalau esok Perdana Menteri bubar Parlimen, dia dah bersedia masuk gelanggang.

“Tiba-tiba bila Umno putuskan PRU15 wajar diadakan tahun ini, menteri PN pula hantar surat ke Istana Negara membelakangi Perdana Menteri selaku ketua kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Semalam, seramai 12 menteri daripada Bersatu dan PAS mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian gabungan itu tidak mahu PRU15 diadakan tahun ini.

Shahril berkata, Muhyiddin bukan sahaja flip flop dalam bab mengurus negara dengan lockdown ‘separuh masak’ tetapi juga berkaitan pendirian berhubung PRU15.

“Ketua Penerangan PN pula sebut ‘majoriti’ jemaah menteri mohon Perdana Menteri tidak adakan PRU15 tahun ini. Ia adalah satu kenyataan yang janggal apabila dari 32 Menteri kabinet yang ada, hanya 12 yang hantar surat kepada Istana Negara.

“Jadi sekarang ni bagaimana (Muhyiddin)? Perdana Menteri dah hebat uruskan ekonomi? Atau sebenarnya PN takut tidak akan mendapat sokongan rakyat?,” katanya. – Malaysiapost

Komen