Negara kesuntukan masa hadapi kemelesetan ekonomi global – Zahid

Negara kesuntukan masa hadapi kemelesetan ekonomi global – Zahid

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu berlangsung sekarang kerana negara sedang kesuntukan masa bagi berdepan kemelesetan ekonomi global yang diramalkan tahun depan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi hantaran terkini di Facebooknya, Presiden Umno itu menegaskan ramalan kemelesetan ekonomi dunia pada 2023 bukan direka Barisan Nasional (BN), sebaliknya berdasarkan laporan organisasi kewangan dan ekonomi antarabangsa.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tiga bulan lalu mengunjurkan prospek ekonomi global ‘menjadi gelap dengan ketara’ sejak April 2022 dan meramalkan dunia berdepan kemelesetan ekonomi tidak lama lagi.

“Sebuah institut pelaburan terkemuka berpangkalan di Amerika Syarikat pula meramalkan kemelesatan ekonomi dunia mungkin berlaku lebih awal iaitu pada penghujung tahun ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia amat memerlukan sebuah kerajaan stabil dan kukuh yang mampu bergerak sehaluan dalam mengatur langkah serta strategi berkesan untuk melindungi Malaysia daripada impak buruk kemelesetan ekonomi.

Katanya, kini berbaki kurang tiga bulan sebelum ‘recession’ yang diramal berlaku sekali gus menjejaskan kebanyakan negara.

“Semoga harapan rakyat supaya mandat dikembalikan kepada mereka untuk memulihkan negara jadi kenyataan dan kepada Allah SWT kita berserah selepas segala daya upaya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN yakin rakyat akan memberi sokongan kuat kepada gabungan itu untuk kembali membentuk kerajaan dominan kerana parti tersebut pernah membuktikan kemampuannya mengurus ekonomi negara.

“Malaysia telah melalui pengalaman amat memeritkan sepanjang berkerajaan gagal selama 22 bulan dibawah Pakatan Harapan (PH) dan 17 bulan dibawah Perikatan Nasional (PN).

“Malah, Malaysia dengan kewujudan kerajaan campuran ketika ini menyaksikan Perdana Menterinya tidak dihormati, malah diserang dan cuba dilemahkan anggota pentadbiran daripada parti lain,” katanya. – Malaysiapost

Komen